Sunday, December 16, 2018

PAMERAN 'FUNCTIONAL GREEN PUBLIC ART SHOW by 01, 2018


Oleh: Siti Ermi Syahira Abdul Jamil


Budaya berpameran merupakan asas kepada bidang seni visual. Menerusi aktiviti pameran, pelbagai idea dapat divisualkan menerusi pengutaraan tampak bersifat kreatif yang diolah sempurna oleh pengkarya-pengkarya amatur mahupan professional. Justuru, bagi membudayakan budaya berpameran dikalangan pelajar, Jabatan Asas Seni, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Perak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan pameran Functional Green Public Art Show yang berlangsung sepanjang bulan Desember 2018. Pameran ini telahdirasmikan oleh Dr. Nur Hisham Ibrahim, Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Perak pada 13 Desember 2018. 

Functional Green Public Art Show menvisualkan karya-karya pelajar semester satu di Jabatan Asas Seni dari pelbagai displin seni lukis dan seni reka. Kepelbagaian ini jelas kelihatan menerusi karya seni bersifat dua dan tiga dimensi yang dihasilkan, antaranya analytical drawing, contour line drawing, achchromatic studies dan form. Setiap karya yang dipamerkan mempunyai daya persona serta nilai-nilai estetika yang tinggi, dimana setiap pengkarya (pelajar semester satu) berjaya mengaplikasi dan mengadunkan intipati seni dengan sempurna. 


Tempat: Foyer, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Uitm Perak
Tarikh Pameran : 12 Disember - 31 Disember 2018
Perasmian : 13 Disember 2018











































Friday, January 17, 2014

Pameran Kami Buka Minda 2014

Pameran kami buka minda, adalah pameran seni visual staf fakulti senilukis senireka uitm Perak.Pameran ini menghimpun karyawan dari pelbagai displin seni lukis senireka. Terdiri dari displin seni halus. seni reka grafik dan digital, seni reka seramik, seni reka fotografi dan pengimejan kreatif.






Wednesday, November 17, 2010

Lampiran penulisan yang menggunakan kaedah 4 displin





Artikel Pilihan : Tanpa Tajuk, Ismail Zain

Umpama ditelah mati emak diluah mati bapa, barangkali itulah ungkapan yang sesuai apabila penulis menerima jemputan saudara Juhari Said untuk menulis dalam ruangan apresiasi koleksi seni dalam jurnal Tanpa Tajuk. Apatah lagi penulis memilih Allahyarham Pak Mail (Ismail Zain) daripada dua artis yang dicadangkan.Pak Mail bukanlah calang-calang seniman di Malaysia bahkan turut terkenal di arena antarabangsa. Sungguhpun penulis pernah berguru dengan beliau, namun untuk meneroka dan memahami pemikiran beliau bukanlah satu perkara yang mudah. Bahkan ada istilah yang sudah lebih 10 tahun lampau masih belum boleh penulis terjemahkannya.

Apabila mengenali keilmuan dan keintelektualan Pak Mail, penulis merasakan diri ini seperti melukut di tepi gantang sahaja.Namun begitu untuk memenuhi undangan saudara Juhari (juga bekas pensyarah penulis), jadi penulis memilih sebuah karya tanpa tajuk yang dihasilkan pada tahun 1990. Karya yang menggunakan akrilik di atas kanvas itu berukuran 120sm x 120sm. Secara umumnya karya itu terdiri daripada tiga panel menegak (vertical) iaitu panel kanan, kiri dan tengah. Panel kanan dan kiri dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian bawah, tengah atas dan atas. Pada bahagian bawah terdapat pola ukiran Melayu tradisi dengan hiasan beberapa kuntum bunga kembang pagi. Pada bahagian atasnya pula dihiasi dengan sejenis bunga liar.Pada panel tengah pula terdapat latar belakang dan latar hadapan. Latar belakangnya terdiri daripada tujuh bahagian dimulai dengan bahagian bawah seperti bentuk pintu terbuka, disusuli dengan hiasan motif abstrak alas meja, diikuti bahagian ruang berjalin, ruang burung terbang, ruang di antara burung terbang dengan motif hiasan seperti tumpal dan akhirnya ruang mendatar di bahagian atas. Pada latar hadapannya yang terletak di bahagian bawah terdapat bunga kembang pagi yang disusun terapung-apung.

Secara asasnya melalui panel kiri dan kanan karya itu didapati penggunaan imej rupa seni abstrak dan ambigious diutamakan. Terdapat tiga nilai warna iaitu tinggi (high), pertengahan (intermediate), dan rendah (low) di dalam panel tersebut.Pada panel utama (tengah) dipisahkan oleh dua keping pemidang kayu jalinan sebenar (actual texture) yang bersifat garisan menegak (vertical line). Kemudian ulangan rupa seakan-akan pintu yang terbuka, bermula di bahagian bawah sehinggalah ke bahagian tengah karya. Di bahagian kanan dan kiri serta tengah pada rupa seakan-akan pintu terdapat ulangan garisan horizontal. Pada bahagian rupa pemidang pintu pula terdapat jalinan abstrak (abstract texture) alas meja seperti rupa rombas diikuti dengan jalinan timbulan (tactile texture), rupa burung, rupa awan dan pulau-pulau, seterusnya pengulangan jalinan abstrak seakan-akan tumpal. Akhirnya ruang mendatar di bahagian atas sekali.

Secara keseluruhannya dari aspek warna, karya itu menggunakan `skim monokromatik rendah’ (low key) iaitu warna huenya dicampur dengan warna gelap dan nuteral. Warna-warna skim monokromatik tinggi (cerah) pada bunga terapung dikontraskan dengan warna-warna pertengahan (ungu muda) pada ruang rupa seakan-akan pintu. Begitu juga dengan bahagian tengah pola ukiran Melayu dengan warna-warna pertengahan (kuning susu) dikontraskan dengan warna rendah nuteral (ungu gelap dan biru tua) di bahagian atas dan bawah pemidang kanan dan kiri. Pada bahagian atas panel tengah, rupa rombas jalinan abstrak, burung, awan serta rupa tumpal jalinan abstrak juga menggunakan warna-warna pertengahan.

Dari aspek ruang, didapati karya ini menggunakan ruang cetek, mendatar dan ambigious. Dari sudut latar terdapat `latar hadapan’ dan `latar tengah’ sahaja. Dari aspek komposisi pada latar tengah karya itu mengutamakan komposisi `keseimbangan samukur’ (symmetrical balance), manakala pada bahagian latar hadapannya menggunakan komposisi `keseimbangan tak samukur’ (assymetrical balance) terutamanya pada susunan bunga kembang pagi pada panel kiri, kanan dan tengah. Begitu juga melalui susunan jalinan timbulan (tactile quality), burung terbang dan pulau-pulau awan pada bahagian panel tengah karya.

Secara keseluruhannya karya ini menekankan bentuk `keseimbangan hampir samukur‘ (approximately balance). Melihat daripada sudut `rentak’, terdapat rentak senada (regular rhythm) dan rentak tidak senada (random rhythm). Rentak senada boleh dilihat pada pola ukiran Melayu, garisan menegak (vertical) pada bahagian tengah karya dan motif abstrak alas meja. Rentak tidak senada pula terdapat pada bahagian bawah dan atas pola ukiran Melayu iaitu melalui `jalinan tiruan’ (simulated texture) seakan-akan kesan permukaan papan lapis (teknik saring sutera) dan susunan bunga-bungaan.

Karya Pak Mail kaya dengan unsur-unsur `semiotik.’ Bahasa-bahasa visual yang diolah, digubah dan disusun penuh dengan tanda berekspresi dan berimejan budaya. Sungguh pun beliau memilih subjek yang dekat dengan kehidupan seharian kita seperti pola ukiran, bunga kembang pagi dan motif alas meja umpamanya tetapi cara pengolahan imej-imej visualnya amat peka, padat dan penuh berisi.Melalui pinjaman dan susunan pola ukiran Melayu komposisi keseimbangan sama ukur di sebelah kanan dan kiri karya juga dapat mencerminkan pemikiran Pak Mail yang menyanjungi budaya Melayu-Islam `Golden Past.’

Proses asimilasi pola ukiran yang dilakukan oleh Pak Mail bukanlah berupa cedokan, malah beliau dengan teliti membuat transformasi baru dari sudut karya seni moden. Pola ukiran ambiguity sama ukur tersebut dari aspek kesenian Islam mempunyai bahasa visual semiotiknya yang tersendiri. Unsur motif yang bersifat infinite (tiada berkesudahan) merupakan intipati falsafah pemikiran Melayu tradisi yang percaya tentang kewujudan Tuhan secara infinity.Pola ukiran Melayu yang infinite tersebut dilatarkan secara menegak dengan hiasan beberapa kuntum bunga kembang pagi melalui pelbagai pandangan sudut yang berbeza. Penyusunan bunga kembang pagi tersebut barangkali dari segi semiotiknya adalah hubungan di antara alam tumbuhan (realiti) dengan alam mujarad (pola ukiran).

Alam realiti atau suasana seharian dapat dilihat dengan lebih jelas lagi melalui susunan seni abstrak bunga kembang pagi pada bahagian atas pola ukiran. Pada tahap yang paling atas panel kiri dan kanan terdapat sepasang bunga yang barangkali dapat mencerminkan tingkat teratas alam realiti yang diinginkan oleh setiap orang iaitu kedamaian dan kesempurnaan.Pemisah di antara panel kanan dan kiri yang menggunakan kayu jalinan sebenar (actual texture) melalui garisan menegak dapat menarik pemerhati terhadap alam kemelayuan yang sarat dengan nilai-nilai kealaman. Pemisah kayu tersebut juga berjaya menarik deria visual pemerhati terhadap pintu rumah Melayu tradisi pada panel tengah. Penggunaan garisan menegak diulang-ulang pada panel tengah iaitu melalui pintu ini dapat mencadangkan sebagai tempat bermula perjalanan ke dimensi lain.

Penggunaan motif abstrak alas meja yang bersifat kesatuan (unity), dikontraskan dengan bunga kembang pagi terapung (alam realiti) merupakan cadangan titik tolak perjalanan yang panjang ke dimensi lain.Bunga kembang pagi putih dari sudut semiotiknya membawa tatabahasa visual seperti bersifat tenang, tenteram dan damai. Komposisi penyusunan bunga kembang pagi dari aspek rentak tidak senada juga dapat memaparkan unsur-unsur kesahajaan iaitu satu daripada unsur dalaman.Di bahagian atas karya tersebut, Pak Mail sengaja menyususn motif alas meja yang distensilkan melalui teknik spray gun. Tetapi pemilihan lima motif abstrak alas meja berbentuk rombas itu, seolah-olah mencadangkan lima elemen mujarad yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Barangkali sebagai seorang Muslim, lima elemen tersebut boleh membawa maksud semiotik yang pelbagai, misalnya sembahyang lima waktu dan rukun Islam.

Namun begitu, perjalanan untuk memenuhi lima elemen tersebut sungguh mencabar. Ini dapat divisualkan melalui cadangan jalinan timbulan yang dihasilkan oleh Pak Mail pada bahagian atas motif rombas di situ. Jalinan timbulan kesan sapuan pallete knife di situ memberikan ransangan psikologi kepada pemerhati seperti perasaan gusar dan berhalangan umpamanya.Burung-burung yang berterbangan di sebalik awan biru adalah metafora kedamaian dan kebebasan, kesenangan setelah melalui ranjau dan halangan. Hakikatnya burung-burung yang berterbangan itu seperti maksud firman Allah dalam surah An-Nahl (Lebah), ayat 79 iaitu “Tidakkah mereka memerhati burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

”Awan-awan dan pulau-pulau di bahagian atas burung barangkali mencadangkan tingkat tinggi perjalanan kehidupan untuk pulang `ke sana.’ Ke sana bermaksud ke dimensi lain yang dicadangkan oleh motif lima elemen tumpal dengan enam kuntum bunga abstrak disusun sebelah-menyebelah di bawah bentuk gerbang ataupun pintu lain.Tingkat ketujuh merupakan hijab (gelap), barangkali mencadangkan alam lain (kerohanian) yang tidak dapat dipandang melalui mata kasar. Penggunaan tujuh tingkat pada panel tengah juga barangkali dapat mewakili alam falsafah Islam terhadap teori kealaman yang diciptakan Tuhan melalui tujuh petala langit dan tujuh petala bumi.

Dari aspek warna, sesungguhnya penggunaan warna-warna monochromatic dari key yang rendah dan nuteral ditambah dengan penggunaan teknik spray gun dan sutera saring, menyaksikan karya Pak Mail terkawal (tidak ekspresif) ataupun apa yang disifatkan oleh Piyadasa sebagai Cool Pragmatism. Penggunaan Cool Pragmatism menyebabkan emosi menjadi terkawal dan minda menjadi tersusun merupakan antara ciri-ciri penting struktur kesenian Islam. Kesenian Islam tidak menekankan nilai-nilai ekspresif apatah lagi nilai-nilai keindividualan.Komposisi samukur dan hampir samukur yang dibincangkan tadi juga bercirikan kesenian Islam yang berdasarkan proportion duaan ataupun `konsep gandaan.’ Karya Pak Mail juga mempunyai konsep duaan seperti pantun yang motif-motif atau elemen-elemen pada bahagian bawah menjadi pembayang maksud mujarad pada bahagian atas karyanya.Melihat dari sudut ruang, penolakan `perspektif dalam’ dengan mengekalkan `ruang cetek,’ `ruang mendatar’ dan `ruang ambigious’ juga bersifat struktur kesenian Islam. Satu hal lagi yang penting ialah ketertiban.

Cara Pak Mail mengolah dan menyusun motif dan elemen karyanya penuh ketertiban dan berdisiplin, seolah-olah membayangkan alam tabii (realiti) tersusun menurut sunatullahnya, alam mujarad (abstrak) pun tersusun demikian juga. Semuanya tersusun tertib seperti mengikut kosmologi alam. Tertib dan terkawal juga merupakan antara ciri penting unsur-unsur formalistik kesenian Islam. Ketertiban ini barangkali bersesuaian dengan apa yang digarapkan oleh Pak Mail dengan kata-kata, “Counterpoints and relating them together is the central issue to all my work since 1970.”

Karya Pak Mail bersifat a-tectonic atau `bentuk terbuka.’ Penggunaan `titik fokus cristal graphic’ atau `berselerak’ dapat membawa mata pemerhati bergerak dari satu imej ke satu imej yang lain tanpa memusat. Titik fokus yang banyak juga menyebabkan karya beliau bersifat `kolektif’ ataupun berlawanan dengan keindividualan. Unsur kolektif tersebut pula saling kait-mengait di antara satu sama lain lalu membentuk “to counter- point and relating them together.”Satu hal lagi yang penting melalui karya Pak Mail ini adalah kesemua imej dan imejan semiotik yang digarapnya mempunyai ciri-ciri membina (positif). Ciri-ciri kesenian Islam yang digarapkan oleh Pak Mail berasaskan falsafah membina tetapi tiada meruntuh (negatif), mencerminkan satu proses penjanaan ilmu dan proses keintelektualan beliau yang tinggi.Dalam karya Pak Mail sukar dicari kecacatannya; bahkan ia agak sempurna (dalam konteks karya seni). Melihat dari aspek sezaman, karya Pak Mail didapati memang bersifat sezaman, bukan sahaja di persada seni tampak tanah air bahkan di arena antarabangsa.

Penggunaan teknik spray gun, stencil dan hard-edge itu sendiri bersifat sezaman kerana kaedah tersebut menolak gaya conventional paint ataupun sapuan berus.Melalui teknik di atas juga Pak Mail dapat menapis `sentuhan langsung tangan’ (konvensional). Biasanya sentuhan langsung tangan tanpa lapisan (teknik di atas) akan memungkinkan pengaliran psikologi terkawal menjadi tidak terkawal ataupun karya dipenuhi dengan kesan-kesan psikologi yang ekspresif. Dengan demikian tidak hairanlah jika Piyadasa menyimpulkan, “In his later works, Ismail successfully projected essences of a controlled, ornate Malay refinement in design, yet never forgetting that he was also producing essentially modernistic works of art, circumscribed by complex, formalistic, problem solving underpinning.”
Posted by studio telagafakir at 4:35 PM 1 comments





Artikel Pilihan : Bumi dan Langit 1, Syed Ahmad Jamal


Dalam penulisan kali ini penulis memilih karya Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal untuk dibincangkan. Perbincangan penulis sebenarnya akan berkisar kepada fokus penyelidikan dan pendidikan. Untuk penulisan ini penulis akan membincangkan sebuah karya yang dikira sarat dengansubjek rujukan, bentuk dan isinya. Karya tersebut bertajuk Bumi dan Langit I. Apabila memasuki dewan utama Galeri Petronas di bangunan KLCC dan berhadapan dengan puluhan karya yang berskala besar, penulis berasa amat kelu dan kagum. Dengan usia melewati 60 tahun, SAJ masih bertenaga besar dan amat prolifik. Malulah kiranya pelukis-pelukis muda yang mempunyai helah dan pelbagai alasan untuk berkarya.

SAJ bukan sahaja pandai berkarya semata-mata bahkan amat mantap dari segi keilmuan ataupun teoritikalnya. Karya beliau Bumi dan Langit I telah dihasilkan pada tahun 1998 mengunakan akrilik di atas kanvas berukuran 203sm x 274.5sm. Namun begitu, secara keseluruhannya karya ini menggunakan subjek alam tabii (alam semulajadi) sebagai teras pengkaryaannya. Melihat pada format kanvas dari bawah ke atas didapati karya SAJ ini terbahagi kepada empat bahagian.Bahagian pertama di bawahnya terdiri daripada lapisan bumi, bahagian kedua pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau. Pada bahagian ketiga terdiri daripada awan, jalur cahaya dan hujan. Seterusnya pada bahagian keempat di atasnya terdiri daripada langit dan bintang-bintang.

SAJ mengukuhkan struktur karyanya dengan kombinasi garisan, rupa, bentuk, dan jalinan. Sementara komposisi karyanya diseimbangkan, dikontrakan, diulang-ulangkan, ditegangkan, dan diharmonikan.Sapuan garisan yang pantas amat ketara sekali pada bahagian kedua karya iaitu terutamanya dalam menghasilkan imej tumbuh-tumbuhan. Cadangan tumbuhan seperti lalang ataupun di kawasan padang dihasilkan secara sapuan pantas dengan dominasi garisan condong (diagonal line). Garisan condong yang diulang secara ketara dapat dilihat pada sebelah kiri karya. Bagaimanapun, garisan cembung (curve line) dikontraskan terutamanya bahagian di antara langit dengan bumi iaitu pada bahagian berwarna ungu gelap. Garisan cembung juga amat ketara digunakan pada bahagian awan. Pun begitu, garisan melintang (horizontal line) pula dibentuk melalui tanah yang berlapis-lapis di bahagian pertama ataupun bawah karya. Garisan melintang juga agak jelas pada bahagian kiri permukaan langit dan bumi dalam karya tersebut.

Terdapat pelbagai jenis karektor garisan; ada garisan perlahan, sederhana, pantas dan tegas. Gabungan daripada berbagai-bagai jenis garisan tersebut lalu membentuk beberapa jenis jalinan (texture), memperkayakan lagi karya SAJ. Secara keseluruhannya SAJ menggunakan jalinan mujarad (abstract texture). Penggunaan rupa yang agak ketara dapat dilihat pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu rupa merah pada tanah yang berlapis-lapis.Dari aspek elemen ruang pula, SAJ menggunakan `ruang mendatar’ dan `ruang cetek’. Secara keseluruhannya karya SAJ mendominasikan ruang cetek. Sementara ruang mendatar pula dapat dilihat sedikit sahaja terutamanya pada bahagian pertama atau bawah karya iaitu lapisan tanah yang berwarna merah. SAJ menggunakan `warna panas’ ke `warna sejuk’ dalam pengolahan karyanya ini. Warna merah (warna panas) pada bahagian pertama atau bawah karya. Diikuti dengan warna kuning (warna panas) memenuhi sebahagian kawasan bumi. Warna biru muda (warna sejuk) di bahagian ketiga iaitu kawasan awan dan akhirnya warna biru tua (warna sejuk) di bahagian langit dan bintang-bintang.

Untuk membentuk `keharmonian’ dari segi warna, warna-warna panas tersebut diulang-ulangkan pada bahagian warna sejuk. Ini dapat dilihat terutamanya pada bentuk awan dan juga bintang-bintang.Format kanvas empat segi tepat digunakan dengan memberi penekanan kepada `kesinambungan tidak sama ukur’ (assymetrical balance). Namun begitu, SAJ juga menggabungkan `keseimbangan kristal grafik’ (crystal graphic balance) ataupun `pandangan saujana’ dalam istilah kesenian Islam (infinite patterning) di dalam karyanya. Keseimbangan tak samukur dapat dilihat dengan perletakan imej yang tidak sekata. Malah warna merah yang sedikit dikontraskan dengan warna biru yang dominan juga menimbulkan implikasi keseimbangan tak samukur.Sebaliknya imej dan bentuk seakan-akan lalang, tanah, gunung, hujan, awan dan bintang-bintang pula membentuk struktur karya ini kepada titik fokus mencapah (keseimbangan kristal grafik) ataupun tidak memusat. Titik fokus mencapah tersebut selari dengan pandangan saujana dalam kesenian Islam.

Keseluruhan format karya ini menggunakan `rentak tidak senada’ (random rhythm) kecuali pada bahagian tepi sebelah kiri, di antara langit dengan bumi. Di bahagian tepi sebelah kiri ini `rentak tersusun’ (regular rhythm) pula digunakan terutamanya pada bahagian yang digambarkan seperti hujan.Gabungan elemen dan prinsip seni lukis di dalam karya ini membentuk satu kesatuan yang cukup mantap. Penyatuan elemen-elemen dengan komposisi serta pandangan saujana antaranya menimbulkan keanekaan di dalam kepelbagaian. Kesatuan dan keanekaan di dalam kepelbagaian itu telah membentuk karya SAJ sebagai karya yang kaya, sarat bahkan berisi nilai-nilai falsafah dan budaya.

Falsafah dan budaya yang mencerminkan pemikirannya, masyarakatnya dan budayanya akan menjadi satu khazanah peradaban yang tidak ternilai harganya. Dari aspek falsafah teras utama yang ditunjangi oleh SAJ adalah tauhid. Ini dapat dilihat pada permulaan katalog pameran antara langit dan bumi (Muliyadi, 2000).“Sesungguhnya Tuhan kami ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu ia bersemayam di atas arasy: ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam.” (surah al-A’raaf: 54).

Jika permulaan sesuatu katalog pameran itu menggunakan ayat-ayat Allah tidak bermakna karya tersebut mempunyai unsur-unsur tauhid. Falsafah tauhid menurut al-Faruqi adalah dengan mengesakan Allah. Dengan demikian, format yang dihasilkan oleh SAJ menepati ciri-ciri yang telah dibincangkan seperti di atas. Secara keseluruhannya dari aspek komposisi, SAJ terpegun dengan alam tabii yang diciptakan Allah. SAJ tidak mengambil alam tabii secara luaran yang bersifat sementara ataupun apa yang dikenali dengan istilah Barat sebagai `realistik’ ataupun menurut istilah Islam sebagai `realiti semulajadi’. Sebaliknya realiti semulajadi tersebut diabstrakkan, dipermudahkan ataupun al-Faruqi melanjutkannya dengan istilah `penggaya-gayaan’ (stylyzation) dan denutralisasikan (denaturalization).Melalui abstraksi dan penggaya-gayaan SAJ menapis alam tabii yang bersifat semulajadi tersebut kepada satu intipati yang bersifat dalaman.

Secara tidak langsung penggunaan perspektif biomorfik dan ruang mendatar dan cetek tersebut telah menolak ciri-ciri semulajadi yang mendominasikan catan-catan Barat terutamanya pada zaman Renaisan dan Realisme atau pun apa yang dikenali oleh Pak Mail sebagai ciri-ciri seni simbolis dan seni memesis.Penolakan ciri-ciri luaran (semulajadi) yang bersifat sementara dengan penarikan atau memasukkan ciri-ciri dalaman (kerohanian) yang bersifat kekal, membuatkan karya-karya SAJ mempunyai ciri-ciri ketauhidan. Dalam pengolahan karyanya, SAJ tidak merakamkan situasi sesuatu lanskap, malah SAJ menghimpunkan pelbagai situasi di dalam sesuatu format. Terdapat situasi malam, dingin, sejuk, panas, siang, petang dan senja umpamanya. Situasi yang berlainan disatukan ke dalam sebuah karya lalu membentuk apa yang dikatakan oleh Muliyadi (2000) sebagai “Antara langit dan bumi, ia bukanlah suatu interpretasi langsung tentang alam semulajadi, sejarah ataupun sesuatu peristiwa, sebaliknya merupakan garapan idea, minda, dan cetusan hati tentang segala bentuk peristiwa dan kejadian di antara kedua-dua ruang; langit dan bumi.”

Unsur kepelbagaian garisan, jalinan, rupa dan bentuk yang digunakan oleh SAJ juga bercorak `islami’. Sungguhpun karya beliau menggunakan nada ekspresionis, namun SAJ telah membentuk kesan-kesan sapuan berusnya menjadi kesan yang terkawal. Bahkan penggunaan sapuan berus dengan diselangselikan dan ditindani dengan kesan warna sembur, menjadikan karyanya lebih terkawal. Pendek kata SAJ menggunakan ciri-ciri ekspresi Melayu yang bertunjangkan kesenian Islam.Sapuan ekspresi tetapi terkawal seolah-olah seperti pantun ataupun bentuk kiasan Melayu umpamanya “pukul anak sindir menantu.” Konsep seperti kiasan ataupun pantun tersebut dapat diperkukuhkan lagi dengan pendapat Muliyadi (2000) yang mengatakan, “SAJ meletakkan keindahan sebagai teras kreativitinya.

Baginya karya seni seperti catan perlulah indah, sekalipun membawa mesej atau penceritaan yang berat maupun menyedihkan.”Sebagai seorang yang arif tentang bentuk kesenian Melayu-Islam, SAJ sememangnya mengambil pendekatan gaya al-Quran. Al-Quran walaupun menyampaikan cerita yang pedih dan menyiksakan tetapi disampaikan melalui irama yang syahdu lagi merdu. Alunan irama yang syahdu lagi merdu tadi adalah pokok kepada keindahan kerana `Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan.’Melihat dari aspek format bawah ke atas juga, didapati penggunaan tanah dengan cadangan berlapisan dapat menegaskan lagi sifat geografik bumi yang berlapis-lapis. Tumbuh-tumbuhan, padang dan bukit diambil secara saripati, dipersembahkan secara abstrak mengingatkan kita tentang tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan alam tabii.Bentuk seakan-akan awan yang dihasilkan dengan penuh tenaga bagaikan jantung alam semesta ataupun seperti guruh berdentum dengan memancarkan seperti jaluran kilat lalu membentuk kesan hujan (garisan diagonal).

Begitu juga dengan fenomena bintang bertaburan dan langit yang berlapis-lapis, menandakan rakaman alam dalaman yang menyanjungi pencipta-Nya.Melihat secara keseluruhan komposisi karya SAJ ini jelas kelihatan mengandungi ciri-ciri dalaman ataupun apa yang disifatkan oleh Salleh dan Fatimah sebagai ciri kerohanian. Ciri-ciri dalaman atau kerohanian tersebut selari dengan ciri-ciri tauhid seperti yang dibincangkan oleh al-Faruqi. Bumi merah di bahagian bawah catan seolah-olah bumi yang gersang. Namun begitu dengan tiupan angin yang membawa awan yang mengandungi hujan telah menyuburkan bumi yang tandus, ataupun seperti apa yang difirmankan Allah melalui surat al-A’raf ayat 57 yang bermaksud, “Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan): hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”

Melihat dari sudut warna pula, penggunaan warna panas ke sejuk juga dapat mengajak pemerhati memikirkan sejenak tentang kehebatan alam tabii ciptaan Allah. Warna merah seperti fenomena senja, kuning seperti petang, hijau seperti siang, biru seperti fajar dan biru tua kegelapan seperti malam, mencerminkan ketelitian dan kehalusan SAJ membentuk format `Bumi dan Langit I.’Menghubungkan elemen warna melalui komposisi catan dari atas ke bawah pula didapati warna gelap (malam) mewakili warna waktu isyak, warna biru muda (fajar) mewakili waktu subuh, seterusnya warna hijau (siang) mewakili waktu zohor dan kuning (petang) mewakili waktu asar, dan akhirnya warna merah (senja) mewakili waktu maghrib. Kelima-lima masa dan waktu yang berperingkat-peringkat ini selain menjadi nadi penting kehidupan orang Islam, juga mencerminkan pergerakan masa mengikut kosmologi atau pun sunatullah.

Melihat dari aspek sejarah pula, karya `Bumi dan Langit I’ amat berjaya sama ada dari segi bentuk, komposisi dan isinya. Penggabungan pelbagai budaya keilmuan berstrukturkan format kesenian Melayu-Islam meletakkan karya SAJ ke hadapan, malah merentasi masa. SAJ tidak berkarya secara membuta tuli seperti sesetengah pelukis muda, bahkan beliau merupakan pengkaji dan penyelidik budaya. Dengan demikian karya-karya yang digarapnya adalah tulen dan segar. Kekuatan ilmu dan saripati budaya Melayu-Islam yang menjadi teras cara hidupnya amat terserlah sehinggakan memantulkan keindahan dalaman melalui tanda visual pada karyanya.

SAJ bukan sahaja menggunakan tunjang budaya Melyu-Islam sebagai struktur karyanya, bahkan mana-mana ilmu daripada tamadun Barat maupun Timur yang baik dan bersesuaian digarapnya menjadi wadah pemikirannya. Suatu perkara yang penting, SAJ melalui karyanya itu telah melompat dari unsur-unsur konversi kesenian Islam yang lampau. SAJ berjaya membina fragmen masa baru yang menunjukkan penggabungan format kesenian Islam. Format kesenian Islam termasuklah seperti pengulangan, pandangan saujana, kerumitan, dinamik, gabungan berurutan dan meditatif dan seumpamanya. Kecekapan SAJ mencernakan tunjang kesenian Islam dengan gabungan prinsip seni Barat seperti ulangan, harmoni, keseimbangan dan kontras umpamanya membentuk suatu struktur baru dan teguh.

Biasanya khalayak akan tertanya-tanya bagaimanakah sesebuah karya itu dinilaikan atau dianggap berbudaya tinggi. Sebenarnya, sesebuah karya itu menjadi bernilai bukan kerana kehebatan pada permukaannya sahaja, tetapi juga kerana ketulenan, keilmuan, keperibadian dan keindahan pengkaryanyalah yang turut menentukan nilainya.

Tuesday, June 30, 2009

Jalinan

Apabila garisan digabungkan dengan tanda, secara automatiknya telah menghasilkan jalinan. Garisan biasanya dihasilkan melalui teknik lukisan. sementara tanda pula dihasilkan melalui kaedah cetakan. Gabungan dari teknik lukisan dan cetakan tersebut akan menghasilkan pelbagai jenis jalinan. Secara mudahnya jalinan terbahagi kepada dua entiti yang berasingan; iaitu jalinan yang bersifat visual dan jalinan yang bersifat sentuhan sebenar


Jalinan bersifat visual hanya dapat dikenali melalui deria pengamatan iaitu mata sahaja. Ia bersifat illusi dan berlaku pada satah permukaan mendatar atau permukaan sesuatu objek. Jalinan sentuhan sebenar pula ialah jalinan yang bersifat fizikal dimana kita boleh menyentuh dan merasai ketebalan, ketingian dan kerendahan permukaannya. Kesimpulanya jalinan visual hanya diterjemahkan oleh mata, sementara jalinan sentuhan sebenar boleh mengabungkan mata dan sentuhan tangan.
Melalui Jalinan visual dan jalinan sentuhan inilah terciptanya pelbagai jenis jalinan. Jalinan-jalinan tersebut seperti jalinan tiruan (simulated texture), Jalinan rekaan (invented texture) dan jalinan abstrak (abstract texture). Jalinan tiruan berlaku apabila pemindahan imej dari objek alam semulajadi dipindahkan secara peniruan sebenar dilakukan. Secara asasnya untuk memudahkan pemahaman jalinan tiruan terdiri dari dua sifat yang berbeza iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Sebagai contoh pemindahan kulit pokok dengan mengunakan teknik lukisan pengamatan dan teknik foto keatas sekeping kertas telah menyebabkan berlaku peniruan imej sebenar atau simulated. Kaedah pemindahan imej jenis ini hanya dapat dikenalpasti melalui mata ataupun apa yang dikenali sebagai bersifat jalinan visual tiruan.Kemudian Jika kulit pokok tersebut dipindahkan melalui teknik acuan (casting), maka teknik pemindahan imej ini dikenali sebagai jalinan sentuhan sebenar tiruan. Contoh Jalinan visual tiruan

Jalinan abstrak pula berlaku apabila objek kajian dari alam semulajadi digunakan untuk menghasilkan jalinan. Namun sifat asal objek semulajadi tersebut terlebih dahulu perlulah di reka, digubah dan digaya-gayakan sehingga menjadi mujarad. Sebagai contoh ukiran awan larat terhasil dari proses abstraksi gabungan ranting, daun dan bunga (objek kajian dari alam semulajadi). Motif ukiran kayu, motif textile dan anyaman Melayu antaranya menggunakan proses jalinan abstrak. Jalinan abstrak juga terbahagi kepada dua sifat iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Lukisan ataupun corak awan larat yang di hasilkan oleh pereka tersebut sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai jalinan abstrak visual . Sementara ukiran kayu motif awan larat yang diukir oleh pengukir tersebut boleh dikategorikan sebagai jalinan abstrak sentuhan sebenar . Contoh: Jalinan abstrak visual

Jalinan Rekaan terjadi apabila objek kajian yang dipilih bukan bersumberkan objek alam semulajadi. Biasanya objek kajian terdiri dari subjek rekaan manusia. Subjek tersebut seperti element garisan dan elemen rupa yang dihasilkan melalui subjek yang bersifat bukan-objektif (non-representasional). Apa-apa saja element yang direkakan kita tanpa merujuk kepda bentuk yang dikenali akan menghasilkan sifat jalinan rekaan. Jalinan rekaan juga terbahagi kepada dua sifat iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Sebagai contoh corak tayar kereta yang dipindahkan imejnya melalui teknik cetakan atau gosokan bersifat jalinan rekaan visual . Sebaliknya apabila corak sebenar yang ada pada tayar tersebut, yang direka oleh perekanya dikenali sebagai jalinan rekaan sentuhan sebenar
Contoh : Jalinan rekaan tiruan, tetapi jika guni ini berada ruang sebenar ianya akan menjadi jalinan rekaan sentuhan sebenar

Untuk pelajar semester satu pengajian asas senilukis senireka projek jalinan akan diberi berdasarkan ketiga-tiga huraian diatas. Namun bagi melengkapkan lagi kamus pengetahuan mereka huraian-hurain dari pelbagai buku lain tentang jalinan bolehlah diperkenalkan. Bagi tujuan projek kita tiga jenis jalinan tersebut dikira bersesuaian dengan tahap semester satu. Sebelum menghasilkan projek jalinan koleksi data-data jalinan perlu dicari untuk tujuan penghasilan komposisi. Data-data tersebut perlu disusun mengikut sifat ketiga-tiga jenis jalinan tersebut. Kemudian data jalinan tersebut akan dilukis kembali dengan saiz dua kali ganda dengan menggunakan ilmu pengamatan.

Jalinan Semulajadi ialah jalinan yang terhasil secara tabie (ciptaan Allah). Jalinan semulajadi disebelah (daun kering) bersifat sentuhan sebenar jika ia berada di alam semulajadi atau ruang sebenar. Namun didalam blog ini ia bersifat jalinan tiruan visual (teknik fotografi), sebaliknya jika daun ini di salin dengan menggunakan acuan getah misalnya melalui bahan fibre glass ia akan bertukar menjadi jalinan tiruan sentuhan sebenar


Contoh dibawah ialah jalinan semulajadi