Tuesday, June 30, 2009

Jalinan

Apabila garisan digabungkan dengan tanda, secara automatiknya telah menghasilkan jalinan. Garisan biasanya dihasilkan melalui teknik lukisan. sementara tanda pula dihasilkan melalui kaedah cetakan. Gabungan dari teknik lukisan dan cetakan tersebut akan menghasilkan pelbagai jenis jalinan. Secara mudahnya jalinan terbahagi kepada dua entiti yang berasingan; iaitu jalinan yang bersifat visual dan jalinan yang bersifat sentuhan sebenar


Jalinan bersifat visual hanya dapat dikenali melalui deria pengamatan iaitu mata sahaja. Ia bersifat illusi dan berlaku pada satah permukaan mendatar atau permukaan sesuatu objek. Jalinan sentuhan sebenar pula ialah jalinan yang bersifat fizikal dimana kita boleh menyentuh dan merasai ketebalan, ketingian dan kerendahan permukaannya. Kesimpulanya jalinan visual hanya diterjemahkan oleh mata, sementara jalinan sentuhan sebenar boleh mengabungkan mata dan sentuhan tangan.
Melalui Jalinan visual dan jalinan sentuhan inilah terciptanya pelbagai jenis jalinan. Jalinan-jalinan tersebut seperti jalinan tiruan (simulated texture), Jalinan rekaan (invented texture) dan jalinan abstrak (abstract texture). Jalinan tiruan berlaku apabila pemindahan imej dari objek alam semulajadi dipindahkan secara peniruan sebenar dilakukan. Secara asasnya untuk memudahkan pemahaman jalinan tiruan terdiri dari dua sifat yang berbeza iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Sebagai contoh pemindahan kulit pokok dengan mengunakan teknik lukisan pengamatan dan teknik foto keatas sekeping kertas telah menyebabkan berlaku peniruan imej sebenar atau simulated. Kaedah pemindahan imej jenis ini hanya dapat dikenalpasti melalui mata ataupun apa yang dikenali sebagai bersifat jalinan visual tiruan.Kemudian Jika kulit pokok tersebut dipindahkan melalui teknik acuan (casting), maka teknik pemindahan imej ini dikenali sebagai jalinan sentuhan sebenar tiruan. Contoh Jalinan visual tiruan

Jalinan abstrak pula berlaku apabila objek kajian dari alam semulajadi digunakan untuk menghasilkan jalinan. Namun sifat asal objek semulajadi tersebut terlebih dahulu perlulah di reka, digubah dan digaya-gayakan sehingga menjadi mujarad. Sebagai contoh ukiran awan larat terhasil dari proses abstraksi gabungan ranting, daun dan bunga (objek kajian dari alam semulajadi). Motif ukiran kayu, motif textile dan anyaman Melayu antaranya menggunakan proses jalinan abstrak. Jalinan abstrak juga terbahagi kepada dua sifat iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Lukisan ataupun corak awan larat yang di hasilkan oleh pereka tersebut sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai jalinan abstrak visual . Sementara ukiran kayu motif awan larat yang diukir oleh pengukir tersebut boleh dikategorikan sebagai jalinan abstrak sentuhan sebenar . Contoh: Jalinan abstrak visual

Jalinan Rekaan terjadi apabila objek kajian yang dipilih bukan bersumberkan objek alam semulajadi. Biasanya objek kajian terdiri dari subjek rekaan manusia. Subjek tersebut seperti element garisan dan elemen rupa yang dihasilkan melalui subjek yang bersifat bukan-objektif (non-representasional). Apa-apa saja element yang direkakan kita tanpa merujuk kepda bentuk yang dikenali akan menghasilkan sifat jalinan rekaan. Jalinan rekaan juga terbahagi kepada dua sifat iaitu bersifat visual dan bersifat sentuhan sebenar . Sebagai contoh corak tayar kereta yang dipindahkan imejnya melalui teknik cetakan atau gosokan bersifat jalinan rekaan visual . Sebaliknya apabila corak sebenar yang ada pada tayar tersebut, yang direka oleh perekanya dikenali sebagai jalinan rekaan sentuhan sebenar
Contoh : Jalinan rekaan tiruan, tetapi jika guni ini berada ruang sebenar ianya akan menjadi jalinan rekaan sentuhan sebenar

Untuk pelajar semester satu pengajian asas senilukis senireka projek jalinan akan diberi berdasarkan ketiga-tiga huraian diatas. Namun bagi melengkapkan lagi kamus pengetahuan mereka huraian-hurain dari pelbagai buku lain tentang jalinan bolehlah diperkenalkan. Bagi tujuan projek kita tiga jenis jalinan tersebut dikira bersesuaian dengan tahap semester satu. Sebelum menghasilkan projek jalinan koleksi data-data jalinan perlu dicari untuk tujuan penghasilan komposisi. Data-data tersebut perlu disusun mengikut sifat ketiga-tiga jenis jalinan tersebut. Kemudian data jalinan tersebut akan dilukis kembali dengan saiz dua kali ganda dengan menggunakan ilmu pengamatan.

Jalinan Semulajadi ialah jalinan yang terhasil secara tabie (ciptaan Allah). Jalinan semulajadi disebelah (daun kering) bersifat sentuhan sebenar jika ia berada di alam semulajadi atau ruang sebenar. Namun didalam blog ini ia bersifat jalinan tiruan visual (teknik fotografi), sebaliknya jika daun ini di salin dengan menggunakan acuan getah misalnya melalui bahan fibre glass ia akan bertukar menjadi jalinan tiruan sentuhan sebenar


Contoh dibawah ialah jalinan semulajadi











Thursday, June 25, 2009

Bentuk 3Dimensi

Terdapat dua istilah bentuk dalam seni tampak. Pertamanya bentuk 3D, keduanya bentuk estetik yang juga dikenali sebagai elemen dan prinsip seni lukis/seni reka. Bentuk 3D berlaku secara realiti diatas ruang yang sebenar. Kita boleh menyentuh, bergerak disekelilinginya dan ia mempunyai sifat panjang x lebar x tinggi. Pada asasnya terdapat bentuk berisipadu (solid), bentuk berstruktur dan bentuk berongga. Melalui projek ini latihan akan diberi dengan penekanan terhadap bentuk berisipadau dan bentuk berongga.

Melalui pengkajian terhadap elemen bentuk 3D, pelajar akan didedahkan dengan ilmu baru iaitu proses perkembangan idea berasaskan bentukan abstrak. Secara umumnya bentuk abstrak terbahagi kepada dua bahagian. Pertama bentuk abstrak bersifat objektif, kedua bentuk abstrak bersifat non-objektif. Proses abstraksi berlaku dengan menghilangkan bentuk asal sesuatu subjek kajian (contoh ikan). Bentuk asal atau jasad realiti semulajadi tersebut dipermudahkan samada diherotkan, digubah-gubahkan dan direka-rekakan. Proses menghilangkan bentuk asal tersebut dipermudahkan, digaya-gayakan sehingga muncul rekaan baru yang bersifat entiti dalaman sesuatu subjek kajian. Entiti dalaman juga dikenali sebagai sari pati atau essence.

Contoh yang mudah untuk mendapatkan sari pati atau nilai abstrak ialah, seperti penghasilan minyak kelapa, dimana buah kelapa adalah jasad semulajadi, sabut, tempurung dan hampasnya dibuang, santannya ditanak dan akhirnya saripatinya adalah minyak kelapa tersebut. Ulu Pekaka (ulu keris), umpamanya adalah saripati kepada burung pekaka. Bentuk abstrak objektif boleh dibezakan dengan bentuk abstrak non-objektif melalui sifat asal sesuatu subjek kajian.

Dalam kes Ulu Pekaka kita masih boleh mengenali bentuk jasad semulajadi burung pekaka. Begitu juga motif dedaun didalam ukiran. Manakala bentuk abstrak bersifat non-objektif pula dapat dibezakan melalui subjek kajian asal yang digunakan. Umumnya subjek kajian yang mengunakan elemen rekaan seperti garisan atau rupa geomertrik misalnya akan menghasilkan bentukan abstrak yang bersifat non-objektif. Bentuk segi tiga yang diambil dan disusun menjadi sebuah arca misalnya akan menghasilkan bentuk arca abstrak bersifat non-abjektif.


Contoh karya diatas dan dibawah kesemuanya menggunakan bentuk abstrak bersifat non-objektif




















Gambarajah dibawah adalah contoh proses perkembangan idea untuk mendapatkan bentuk abstrak bersifat objektif. Kajian ilmiah terhadap karya ulu keris Anak Ayam Teleng dilakukan sebagai contoh proses perkembangan idea.

























Gambarajah dibawah ialah proses perkembangan idea bentuk abstrak bersifat non-objektif

























Tuesday, June 23, 2009

Rupa 3 Dimensi

Rupa 3D pada umumnya telah bertukar menjadi bentuk. Namun kita namakan rupa 3D untuk membezakan dengan projek bentuk. Melalui projek ini latihan diberi berdasarkan pengolahan rupa 2D menjadi satu komposisi baru. Komposisi tersebut didirikan diatas ruang fizikal yang realiti, dengan membuat pergerakan dan arah. Pergerakan dari atas kebawah, kiri ke kanan dan depan kebelakang diatas ruang sebenar, dikomposisikan dengan gabungan pelbagai arah dan prinsip rekaan lainnya.

Salah satu pilihan projek rupa 3D ialah: Rupa 3D ekonomikal. Melalui projek ini sekeping rupa asas yang terdiri dari rupa geometrik atau organik dipilih untuk membuat perkembangan idea. Rupa yang dipilih umpamanya sekeping kertas tebal saiz a3, akan di bahagikan kepada beberapa kawasan dan sempadan baru dengan menggunakan pencil dan pisau. Pembahagian kawasan dan sempadan baru adalah bebas dan mengikut keperluan rekaan. Pelajar diminta membuat pelbagai ekperimentasi model kecil untuk mendapatkan pembahagian sempadan atau kawasan yang bersesuaian dengan rekannya.

Gambarajah disebelah menggunakan contoh pilihan rupa asas segiempat sama. Kawasan dan sempadan baru dibahagikan kepada empat bahagian. Melalui gambarajah tersebut juga dapat dilihat dua contoh rekaan perkembangan idea. Rekaan boleh dicembung-cengkung, dilipat dan disusun dengan pelbagai gabungan prinsip rekaan.

untuk projek rupa 3D ini prinsip rekaan rentak diutamakan. Terdapat tiga jenis rentak yang perlu dikaji untuk menghasilkan rekaan. Pilihan boleh dibuat dari rentak; rentak senada (regular rhythm), rentak tidak senada (random rhythm), rentak berpusar (swirling rhythm), alternating rhythm dan progressive ryhthm. Rujuk buku Art Talk, Art Foundation dan Art Forms antaranya

Gambar disebelah adalah contoh lukisan perkembangan idea
gambar dibawah adalah contoh karya akhir pelajar




















Sunday, June 21, 2009

Garisan dan Tanda 3 Dimensi

Pada umumnya definasi garisan 3D adalah hampir sama sahaja dengan definasi garisan 2 D. Perbezaannya yang ketara ialah garisan 2D bersifat ilusi, dan garisan 3D bersifat fizikal. Sifat fizikalnya yang membolehkan kita menyentuh, mengalami realiti sebenar bahkan kita boleh bergerak mengelilinginya. Melalui konteks garisan 2D kita menghasilkan garisan secara ilusi, namun untuk menghasilkan garisan 3D kita mengambil dan memungut elemen garisan yang bersifat fizikal. Contohnya seperti akar, ranting, benang dan wire antaranya.

Untuk semester pertama terdapat dua projek penyelidikan tampak garisan 3D yang ditawarkan. Tawaran projek tersebut bergantung kepada opsyen pensyarah. Projek garisan 3D pertama dikenali sebagai garisan grid berstruktur. Melalui projek ini kombinasi garisan luar, garisan cross contour dan garisan sruktural dilakukan. Projek ini bertujuan untuk mengkaji struktur asas sesuatu subjek rujukan. Objek-objek rujukan utama yang dibuat penyelidikan ialah alam flora, alam fauna dan juga patung-patung mainan. Sebagai pereka kefahaman terhadap bentuk asas sesuatu subjek rujukan adalah penting. Kajian anatomi terhadap bentuk asas akan memudahkan kita memahami sruktur asas sesuatu bentuk subjek rujukan.

Melalui projek ini juga pengkajian struktur asas akan membolehkan kita memahami sifat 3D sesuatu subjek rujukan. Dengan demikian pemilihan subjek rujukan mestilah unik dan mempunyai jisim dan isipadu. Serangga yang kecil misalnya boleh dibuat kajian dengan bantuan kanta. Namun pemilihan subjek rujukan yang bersaiz lebih besar akan menguntungkan kita, ini disebabkan subjek rujukan yang lebih besar memberi kita peluang untuk membuat penyelidikan asas anatominya. Kajian terperinci juga boleh dilakukan pada mana-mana bahagian penting. Ketam umpamanya merupakan subjek kajian yang menarik. Selain dari eleman bentuk dan garisan yang pelbagai karekter bentuk ketam tersebut yang indah akan menjana motivasi kearah perkembangan idea yang lebih baik. Jika kita dibandingkan bola ping pong dengan seekor ketam, khususnya dalam penyelidikan ini sudah tentu bentuk ketam lebih signifikan.

Pada peringkat pertama pengkajian ini, sesuatu subjek rujukan yang dipilih hendaklah dilukis kembali untuk sekurang-kurangnya tiga sudut paandangan yang berbeza. Lukisan hendaklah di lukis dengan menggunakan ilmu pengamatan terhadap bentuk 3D.


Gambar disebelah adalah salah satu jenis lukisan pengamatan yang memuaskan. Tujuan membuat lukisan pengamatan didalam penyelidikan tampak ialah; pertama supaya kita dapat menghubungkan ilmu lukisan dan penyelidikan tampak. Kedua untuk membuat perkembangan idea kita mestilah mempunyai asas skil lukisan yang baik.

Gambar dibawah pula ialah kajian garisan struktural dan cross contour yang baik. Pemahaman terhadap permasalahan kajian dihasilkan dengan penuh pengamatan. Bentuk pisang maupun botol dapat dilihat dari kontek struktur asasnya dan juga anatominya.


Untuk pelajar baru teknik pengkajian berasaskan bentuk yang mudah keunik di lakukan. Asas untuk memahami kajian cross contour dan garisan sruktural ialah dengan menggunakan bentuk subjek rujukan bersifat lutsinar. Subjek botol mineral misalnya memudahkan pelajar baru memahami bentuk bersruktural dan 3D. Ini disebabkan nilai lutsinar tersebut membolehkan mata kita memerhati dan meneliti bentuk 3D tersebut. Pada peringkat pertama perkembangan idea penyelidikan tampak pelajar akan dibantu pensyarah dengan membuat garisan grid atau ikatan benang tebal cross contour pada permukaan subjek. Dengan bantuan garisan kontur bersifat garisan ilusi atau ikatan benang tebal, pelajar akan dapat memahami secara perlahan kaedah pengkajian bentuk berasaskan penyelidikan sruktural. Apabila kita berjaya membuat penyelidikan garisan cross contour dan garisan struktural keatas objek mudah seperti botol lutsinar, barulah kita akan memperkembangkan idea keperingkat yang lebih unik lagi. Misalnya kita membuat penyelidikan keatas sebiji pisang, diikuti sesikat dan diakhiri dengan setandan pisang. Sudah tentu proses dari mudah ke unik ini merupakan satu proses dimana minda kita tidak dipaksa untuk menghasilkan karya yang rumit tanpa mengenalinya melalui proses mudah terlebih dahulu.

Aplikasi lukisan idea keatas 3D.

Setelah kajian keatas subjek rujukan lengkap, aplikasi keatas 3D akan dilakukan. berdasarkan lukisan penyelidikan, anda hendaklah memilih sekurang-kurangnya tiga jenis garisan yang berbeza. Garisan sebenar tersebut bolehlah mengunakan dawai bersaiz kecil, sederhana dan besar. Dengan bantuan playar anda pindahkan lukisan garisan kontur dan struktural untuk membentuk 3D yang sebenarnya. Melalui proses tranformasi ini kekuatan ilmu pengamatan dan pemahaman terhadap bentuk diperlukan. Untuk memperolehi kekuatan ilmu pengamatan latihan melukis yang istiqamah diperlukan. Kajian dan penyelidikan terhadap berbagai subjek rujukan hendaklah dibuat. Jadikan displin kajian dan penyelidikan sebagai satu menu utama hidup anda sehingga ianya berupaya menjadi habit dan menimbulkan rasa ketagih.

Gambar-gambar dibawah adalah beberapa contoh karya-karya penyelidikan tampak berasaskan garisan 3D






















Thursday, June 18, 2009

Garisan dan Tanda 2Dimensi

Garisan 2D
Garisan 2D berlaku diatas permukaan dan bersifat tampak. Hanya mata kita sahaja yang boleh mentafsir gerakan-gerakan tampak yang berlaku diatas sesuatu permukaan. Terdapat lima jenis garisan asas yang membentuk berjenis-jenis garisan lain. Garisan tersebut terdiri dari garisan menegak, garisan melintang, garisan condong, garisan cembung dan garisan zig zag. Ulangan garisan dan tanda yang dihasilkan melalui lima jenis garisan asas ini akan menghasilkan:
1. garisan kontur yang terdiri dari garisan slow contour, Exagerated contour, Quick contour, Crosss-contour dan Contour with tone 2. Mechanical Line 3. Structural line 4. lyrical line 5. constricted aggresive line 6. Handwriting Cursive calligraphic line 7. Implied line 8. Blurred line 9. Whimsical line. Betti Sale (1980). Drawing A Contemporary Approach,USA. Thomson Learning
Garisan dan Tanda Ekpresi
Untuk latihan penyelidikan tampak semester satu, latihan garisan dan tanda yang berasaskan perasaan digunakan. Perasaan tersebut dibahagikan kepada dua, iaitu garisan terkawal dan garisan tidak terkawal. Garisan terkawal meliputi garisan yang mempunyai unsur-unsur tenang, sabar, gembira dan gementar antaranya. Sementara garisan tidak terkawal terdiri dari jenis garisan ketegangan, garisan marah, garisan mengamuk dan garisan meletus antaranya.
Pelbagai kaedah boleh dibuat untuk menghasilkan latihan garisan dan ekpresi ini. Antaranya menggunakan muzik instumental bernada rendah hingga ke bernada tinggi dan kaedah meditasi perasaan. Melalui kaedah muzik instrumental, sekurang-kurangnya tujuh jenis muzik yang mewakili perasaan terkawal dan tidak terkawal digunakan. Pelajar diminta menghayati jenis muzik dan menghasilkan tanda garisan mengikut alunan instrumental tersebut. Biasanya latihan didedahkan dengan menggunalkan alunan lembut ke alunan keras.
Kaedah meditasi perasaan pula dibuat dengan meminta pelajar mengosongkan fikiran, kemudian pelajar dikehendaki memejam mata sambil menghayati sepenuh hati perasaan dan tanda yang akan di hasilkan. Proses ini di ulang-ulang untuk sekurang-kurangnya tujuh jenis perasaan yang terkawal dan tidak terkawal. Perasaan hendaklah dialirkan serentak dengan tindakan bagi menghasilkan tanda garisan diatas kertas. Perasaan samada terkawal atau agresif hendaklah dialirkan sejujur munkin untuk menghasilkan tanda yang berkesan.
Untuk membuka minda pelajar latihan ini akan menggunakan sekurang-kurangnya 12 jenis berus buatan sendiri. Berus tersebut hendaklah direka berdasarkan bahan alam tabie dan alam buatan manusia. Penolakan berus konvensional ini bertujuan untuk membuka minda dan membentuk kreativiti baru. Dengan menggunakan berus buatan sendiri dan kaedah muzik instumental maupun kaedah meditasi pelajar akan didedahkan dengan berjenis-jenis garisan dan tanda ekpresi. Rajah dibawah ialah contoh beberapa jenis garisan dan tanda dari emosi terkawal dan tidak terkawal
Latihan di bilik darjah hanyalah bersifat simulasi. Pelajar dikehendaki menggunakan masa sendiri diluar waktu kelas untuk membuat ekperimentasi yang lebih unik, kreatif dan hebat. Persekitaran dan pengawalan perasaan diluar boleh ditentukan sendiri. Oleh yang demikian pelajar diharapkan akan dapat menghasilkan ekperimentasi yang lebih berkesan dan mengikut waktu perancangannya. Perlu dingatkan pelajar mestilah mematuhi displin dan kaedah yang dipraktikan didalam kelas

Komposisi garisan 2Dimensi

Untuk menghasilkan komposisi garisan dan tanda ekpresi, penyatuan diantara elemen dan prinsip senilukis/seni reka perlulah dilakukan. Dalam kontek ini elemen garisan dan tanda ekpesi yang dihasilkan pelajar akan di gubah untuk menghasilkan komposisi karya. Karya yang dihasilkan mestilah bersifat non representational . Melalui latihan ini penekanan terhadap prinsip keseimbangan dan ulangan akan dititik beratkan. Pelajar perlu memahami definasi keseimbangan disamping mengetahui prinsip imbangan semukur, imbangan tak semukur dan imbangan perpusat. Latihan akan diberi berdasarkan tiga prinsip tersebut tersebut dengan mengadunkan prinsip ulangan. Ulangan boleh dibuat dari saiz yang sama dan yang berbeza. Ulangan juga boleh dibuat dari pelbagai arah dan saiz yang berbeza. Imbangan semukur misalnya menggunakan ulangan bersifat harmoni dengan gabungan saiz yang sama

Contoh komposisi garisan menggunakan keseimbangan tak semukur

Keseimbangan ialah prinsip  yang penting dalam seni lukis dan seni reka. Apabila sesebuah gubahan atau komposisi rekaan dihasilkan gabungan prinsip dan element dibuat untuk menghasilkan seni reka atau komposisi yang indah, menarik dan cantik mata memandang. Untuk proses pembelajaran dan penyelidikan tampak, kamu akan diajar secara khusus setiap prinsip dan elemen seni.  Keseimbangan merupakan kompenen utama untuk menghasilkan komposisi karya yang stabil. Karya yang stabil akan menyebabkan senang mata memandang dan memberi respon visual yang memuaskan  hati. sebaliknya apabila karya tidak stabil akan menyebabkan komposisi karya menjadi berat sebelah dan tidak dapat menarik perhatian serta memuaskan perasaan.

Keseimbangan terbahagi kepada beberapa antaranya, keseimbangan tak samaukur (assymetrical balance), keseimbangan samaukur (symetrical balance), keseimbangan berpusat (radial balance) dan keseimbangan saujana (crystallographic balance)

Keseimbangan tak samaukur, merupakan  jenis keseimbangan yang disusun secara rawak dan dalam keadaan komposisi yang tidak terkawal. boleh jadi susunan komposisi sebelah kirinya berat tetapi diseimbangkan disebelah kanannya dengan rupa yang ringan dan besar.  Boleh jadi komposisi keseluruhanya hitam tetapi di seimbangankan dengan warna merah yang kecil. warna merah walaupun kecil tetapi mempunyai intensiti yang kuat sehingga dapat menyeimbangkan komposisi secara visual. 

keseimbangan visual hanya dapat diamati oleh mata dan fikiran. secara umumnya para pelukis dan pereka mempunyai deria untuk membentuk keseimbangan secara visual.

contoh keseimbangan tak samaukur