Monday, March 23, 2009

Kaedah 4D dalam komunikasi visual.

Banyak buku yang membicarakan tentang kaedah berkomunikasi tanda tampak, tetapi penulis memilih buku Art Talk yang dipopularkan oleh Rosalind Ragan sebagai teras pengkajian terhadap empat disiplin. Untuk menjawab empat disiplin tersebut, Ragan membahagikannya mengikut empat soalan iaitu “What do I see?” (description), “How is the work organised?” (analysis), “What is the artist saying?” (interpretation), dan “Is this a successful work of art?” (judgement).


Langkah pertama: Deskripsi (Apa yang kita lihat)

Dalam langkah pertama ini kita perlu melihat dengan berhati-hati dan mencatat segala maklumat yang dapat kita lihat dalam karya. Pemerhatian yang terperinci diikuti dengan langkah yang perlahan akan membantu kita mengenali subjek yang dihasilkan pengkarya. Setiap deskripsi hendaklah mencatatkan ukuran karya dan media yang digunakan. Ragan menamakan maklumat-maklumat terperinci tersebut sebagai credit line. Termasuk juga dalam credit line ialah tahun karya dihasilkan serta tajuk karya tersebut dan juga karya tersebut menjadi koleksi siapa?. Dalam langkah deskripsi, kita hendaklah melihatnya secara objektif. Bagaimanapun, subjek yang terdapat dalam karya tersebut juga hendaklah diperhatikan dan dibentangkan mengikut langkah ini. Subjek tersebut terbahagi kepada dua iaitu sama ada non-objective subject-matter atau objective subject-matter.
untuk mengetahui non objective dan objective subject matter sila rujuk buku Art Fundamental m.s. 15 di bawah rajah 1.14 (development leading toward abstraction)


Langkah kedua: Analisis (Bagaimana karya seni disusun atau dikomposisikan)

Pada peringkat kedua ini, kita masih lagi meneruskan ciri-ciri pemerhatian teliti terhadap semua tanda tampak yang ada pada permukaan karya seni. Bagaimanapun, pada peringkat ini kita akan cuba menghubungkan tanda-tanda tersebut dengan elemen-elemen dan prinsip-prinsip seni lukis dan seni reka. Dalam analisis, kita akan membuat liputan menyeluruh terhadap bagaimana karya tersebut disusun atau dikomposisikan.

Elemen-elemen seni lukis dan seni reka terdiri daripada garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang, tona dan warna. Sementara prinsip-prinsip seni lukis dan seni reka pula antaranya ialah keseimbangan, keharmonian, kesatuan, kontra, rentak, ulangan dan dominan. Komposisi bermaksud penyatuan dan integrasi antara elemen dengan prinsip seni lukis dan seni reka. Elemen dan prinsip tersebut biasanya aturan daripada acuan kesenian Barat yang dikenali sebagai `bentuk’ (form).

Bentuk kesenian Islam atau ciri-ciri estetika seni Islam terbahagi kepada enam mengikut pentafsiran al-Faruqi iaitu abstraksi atau kemujaradan, struktur modular, gabungan berturutan, perulangan, dinamisme dan intrikasi atau kerumitan.



Langkah ketiga: Interpretasi (Apa yang dimaksudkan oleh pelukis)

Pada peringkat ketiga ini kita akan menjawab persoalan seperti `apakah yang diperkatakan oleh pengkarya.’ Dalam memperkatakan tentang interpretasi, kita akan cuba menerangkan atau mencari maksud atau mood sesuatu karya seni. Pada peringkat ini fikiran kita akan bermain dengan beberapa tekaan. Bagaimanapun, tekaan tersebut perlulah disemak dan diadili berdasarkan bukti-bukti tanda tampak. Interpretasi merupakan peringkat yang agak susah dalam kritikan seni. Namun, biasanya kita akan menggunakan pengalaman kita dalam mencari dan menerokai sesuatu meaning, mood ataupun ambience pengkarya.

Kita mesti menggabungkan imaginasi, kepakaran dan nilai kreatif bagi menyelidiki tanda-tanda visual karya dan menghubungkannya dengan maksud karya. Kita tidak perlu takut untuk membuat interpretasi hanya kerana berbeza pendapat dengan seseorang yang lain. Sudah tentu persekitaran dan pendidikan kita yang berbeza akan membuahkan penafsiran yang sedikit berbeza. Bagaimanapun, dalam perbezaan tersebut tetap terdapat juga persamaan, sekurang-kurangnya dalam konteks tanda visual.

Interpretasi kita mestilah berdasarkan fakta dan clue yang kita temui melalui dua langkah di atas tadi. Biasanya fakta dan clue tersebut akan diambil daripada tanda-tanda visual, elemen dan prinsip seni lukis dan seni reka yang kita temui dalam sesebuah karya seni. Kita akan membuat interpretasi berdasarkan perasaan, pengalaman dan pengetahuan kita. Untuk memantapkan lagi interpretasi karya seni, kita perlulah menyelidiki selain daripada karya tersebut juga latar belakang atau sejarah pengkarya. Dengan kata lain, persekitaran hidup pengkarya, psikologinya dan intelektualismenya dikaji dan diselidiki dengan teliti. Tujuan pengkajian tersebut adalah untuk menghubungkan bukti-bukti kehidupan pengkarya dengan tanda-tanda tampak yang dihasilkan melalui karyanya. Tanda-tanda tampak adalah bentuk estetika yang dihasilkan oleh pengkarya. Persekitaran, psikologi dan intelektual pula merupakan ambience seniman tersebut. Ambience ataupun kejiwaan (isi hati dan perasaan), biasanya diluahkan melalui tanda, sama ada seniman tersebut menyedarinya atau tidak (intuition).

Penilaian (judgement)

Melalui langkah keempat ini, anda dikehendaki mencadangkan adakah karya ini menarik atau sebaliknya. Didalam penilaian anda harus menentukan keberkesanan penggunaan nilai estetika. Nilai estetika yang mana satukah diguna pakai oleh pengkarya?. Dalam penilaian anda dikehendaki mencadangkan pendapat anda secara individu. Adakah anda suka karya ini ? Tiada siapa yang dapat menentukan adakah anda menyukainya atau tidak. Untuk menentukan keberkesanan penilaian anda harus membuka minda anda. Satu perkara lagi kejujuran merupakan nadi kepada penilaian. Penilaian karya juga harus dibuat secara subjektif dengan mengkaji nilai-nilai estetik yang ada pada karya. Sungguh pun karya tersebut mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi, namun kadangkala kita tidak menyukainya. Didalam penilaian juga kita boleh menilai samada karya tersebut sezaman atau telah ketinggalan zaman, atau adakah ia karya arvant garde ?
Oleh Zainon Abdullah

Saturday, March 21, 2009

Thursday, March 19, 2009

Salam pengenalan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah petang ini saya dan Izzal telah berjaya mendaftar majalah maya khususnya untuk program pengajian asas seni. Seperti mana mesyurat lepas kita bercadang untuk menghasilkan penerbitan pengajian asas seni. Maka saya berpendapat medium blog ini amat sesuai untuk tujuan tersebut. Tuan puan (staf pengajian asas seni) bolehlah menulis melalui blog ini secara umum tentang pengajian asas seni. Perlu diingatkan melalui blog ini tuan puan tidak dibenarkan menyalin, memasukan silibus dan skima matapelajaran secara langsung. Sebaliknya tuan puan bolehlah berwacana mengenai tajuk-tajuk yang ada dalam pengajian asas seni. Tajuk-tajuk tersebut meliputi lukisan, penyelidikan tampak dan komunikasi visual.

Sekian Terima Kasih

Zainon Abdullah